Bismillahirrahmanirrahim..
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud; Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya (patuhi segala hukum-hakam); dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu yang terang nyata.
Dari ayat ini kedudukan syaitan sebagai musuh adalah jelas dan tidak dapat dinafikan. Kerana kasih sayang Allah terhadap umat manusia, Allah memberitahu manusia siapakah musuh mereka yang sebenarnya supaya manusia sekalian mengambil langkah berhati-hati supaya tidak terperdaya dengan musuh manusia itu.
Firman Allah dalam surah al-A'raaf ayat 27, yang bermaksud; "Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka. Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 91, yang bermaksud; "Sesungguhnya, syaitan itu hanyalah hendak mengadakan di antara kamu permusuhan dan kebencian dengan sebab arak dan judi, dan menghalangmu dari mengingati Allah dan daripada sembahyang. Oleh sebab itu, belum jugakah kamu mahu berhenti (dari melakukan perkara-perkara yang keji)?"
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168-169, yang bermaksud; "Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal dan baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 268, yang bermaksud; "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruhmu berbuat perkara-perkara keji (bakhil dan kedekut), padahal Allah menjanjikanmu keampunan dan kurniaan daripada-Nya, dan Allah Maha Luas Kurnia-Nya dan Maha Mengetahui."
Firman Allah dalam surah Faathir ayat 5, yang bermaksud; "Wahai umat manusia! Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah kamu terperdaya oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terperdaya dengan (kemurahan) Allah itu (lalu kamu lalai dan terpedaya)."
Demikianlah sedikit dari contoh-contoh amaran Allah tentang musuh manusia itu yang terdapat di dalam kitab suci al-quran.
SIAPAKAH SYAITAN ITU?
Syaitan adalah keturunan dari iblis. Dan iblis adalah berasal dari golongan jin (surah al-kahfi ayat 50). Seperti manusia, iblis dan syaitan juga mempunyai keturunan. Tetapi tidak seperti manusia, iblis dan syaitan akan terus hidup dan tidak akan mati sehinggalah datangnya Hari Kiamat. Jadi, dapatlah kita bayangkan betapa banyaknya bilangan musuh manusia itu, yang kerjanya sentiasa berusaha menyesatkan manusia dari jalan Allah.
APAKAH MATLAMAT SYAITAN ITU?
Iblis dan syaitan hanya mempunyai matlamat untuk dicapai. Matlamat iblis dan syaitan adalah untuk membawa seluruh manusia ke api neraka. Apabila manusia ke api neraka dan terhindar dari syurga, manusia telah pun gagal. Iblis dan syaitan mahu semua manusia menemui kegagalan. Semua manusia akan memasuki neraka apabila mereka membuat kemungkaran dan tidak bertaubat sebelum mereka mati .
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEMUNGKARAN?
Manusia tidak mengaku hanya Allah Tuhan dan Muhammad sebagai pesuruh Allah
Apabila manusia menerima kalimah Allah tetapi mengingkarinya
Apabila manusia yang menerima kalimah Allah , dia mentaatinya tetapi bukan dengan cara Nabi Muhammad SAW.
APAKAH CARANYA UNTUK BERLINDUNG DARI SYAITAN DAN IBLIS?
Mengajak seluruh manusia untuk mengucapkan kalimah Mulia Allah dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNYa
Carilah perlindungan Allah dari syaitan yanh direjam
Allah SWT berfirman dalam surah Fushilat ayat 36(QS41:36)
"Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah Engkau meminta perlindungan kepada Allah.
Sesungguhnya DIa lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
1) Mu'awwidhatayn: Bacalah surah Al-Falaq dan An-Nas
2) Bacalah ayat Kursi
3) Bacalah Surah Al Baqarah
4) Bacalah 2 ayat terakhir surah Al Baqarah
5) Ucaplah "La ilaha ill Allah wahdahu la sharika lah, lahul mulki wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli shah in qadir" sebanyak 1000x
6) Bacalah permulaan surah Mu'min
7) Ingatlah Allah yang Maha Berkuasa
8) Wudhu' dan solat; pastikan diri sentiasa dalam keadaan berwudhuk; kedua- duanya merupakan adalah sebaik baik cara untuk melindungi diri terutamanya apabila marah ambillah wuduk dan bersolat
9) Jauhi perbuatan yang tidak baik
No comments:
Post a Comment