Sunday, 20 July 2014

IKHLAS

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh amal atau jiwa ibadah. Ia jadi penentu apakah amal ibadah kita diterima atau ditolak yang mana bila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilaian di sisi Allah atau tidak ada harganya lagi. Sebaliknya kalau ikhlas dalam beramal, Allah terima dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.

Bagaimanakah yang dikatakan ikhlas ini jadi penentu?

Amal ibadah ini umpama seorang manusia, Bila nyawa (roh) sudah tidak ada, ia akan jadi bangkai. Bangkai mesti dibuang ke kubur kerana nilai kemanusiaannya sudah tidak ada lagi di waktu itu. Dia tidak layak lagi bergaul dengan orang yang hidup. Walaupun dia seorang ratu cantik, orang terpaksa buang juga kerana ia akan jadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah.

Begitulah dengan amal ibadah kita ini. Kalau tidak ada rohnya atau tidak ada jiwanya, yakni tidak ikhlas, Allah anggap seperti bangkai yang kotor lagi busuk, yang tidak ada harganya. Tidak layak untuk Allah menerimanya dan tidak layak diberi ganjaran pahala. Bahkan akan dicampak balik ke muka kita sekalipun seluruh makhluk-makhluk Allah di langit dan di bumi semuanya memuji-muji amal ibadahnya cantik, baik dan bernilai. Sekalipun amal ibadah itu sedikit, jika ikhlas, Allah tetap menganggapnya banyak. Sedangkan amal ibadah yang banyak tetapi tidak ikhlas, Allah tetap menganggapnya sedikit atau macam amalan yang tidak wujud.

Begitulah penting dan bernilainya ikhlas itu. Allah mahu agamaNya yang suci murni itu diamalkan secara suci pula yakni tidak dicelahi dengan sebarang bentuk hati busuk. Dalam hal ini Allah ingatkan, "Ingatlah, hanya kepunyaan Allah lah agama yang bersih (khalis)" (Az-Zumar: 3)
Juga di ayat lain, "Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan demikian itulah agama yang lurus" (Al-Baiyinah: 5)

Dalam sejarah pernah diceritakan betapa susahnya untuk mendapatkan sifat ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh Sayidina Muaz. Rasulullah saw bersabda: "Puji syukur ke hadrat Allah swt yang menghendaki agar makhlukNya menurut kehendakNya. Wahai Muaz!" Jawabku: "Ya Saiyidil Mursalin"

Sabda Rasulullah saw: "Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itumenciptakan 7 malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya. Malaikat yang memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah: "Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang umpat""

Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: "Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain". Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit berkata: "Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong". 

Rasulullah saw meruskan sabdanya: "Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang yang ujub . Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub".

Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata: "Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hambaNya yang lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad". Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: "Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah, dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini".

Malaikat hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya bergemuruh. Di antara amalan ituialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: "Saya ini penjaga sum'ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riak". Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah swt. Semua malaikat beridir di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.

Tetapi firman Tuhan: "Hafazah sekalian, pencatat amal hambaKu, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas padaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boeh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melhat segala isi hati dan tidak terlindung bagiKu apa saja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama denga pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi. PengetahuanKu ata orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu, bagaimana hambaKu ini menipu Aku dengan amalannya? LaknatKu tetap padanya".

Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: "Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekalian bagi mereka". Dan semua yang di langit turut berkata: "Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat".

Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan berkata: "Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat daripada apa yang diceritakan ini?" Sabda Rasulullah saw: "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan". Muaz bertanya kembali: "Tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?" Sabda Rasulullah saw: "Ya begitulah, dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu, jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengunkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam".

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment