Wednesday, 2 July 2014

RAMADAN BERTAMU LAGI

Bismillahirrahmanirrahim.

KELEBIHAN BULAN RAMADAN.

Nabi saw bersabda,
"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar." -HR Muslim no: 233

"Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah" -HR Ibn Hibban

"Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkah, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pint neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan." -HR Imam Ahmad dan Imam Nasa'i

Nabi saw bersabda,
"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." -HR Muslim

Nabi saw bersabda,
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah" -HR Bukhari

Nabi saw bersabda,
"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulam Ramadan adalah menyamai haji." -HR Bukhari

Nabi saw bersabda,
"Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampun dosa-dosanya yang lalu." -HR Muslim

Diceritakan dari Salman Radiyallahu 'anhu, dia berkata Nabi Muhammad saw memberikan khutbah kepada kami pada akhir hari bulan Sya'ban, baginda  bersabda: "Wahai manusia, telah hampir datang bulan suci Ramadan yang penuh berkah, bulan yang di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari ibadah seribu bulan. Bulan yang dijadikan oleh Allah, puasa pada siang harinya suatu kewajipan dan solat pada malamnya (selain solat fardhu) sebagai solat sunnah. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan amal kebajikan, pahalanya laksana orang yang melakukan kewajipan pada selain bulan Ramadan. Barangsiapa yang melakukan kewajipan di bulan tersebut, pahalanya laksana pahala orang yang melakukan tujuh puluh kewajipan di lain bulan suci Ramadan. Ia adalah bulan sabar, bagi orang yang bersabar tidak lain balasannya syurga, dan merupakan bulan toleransi, dan bulan ditambahkannya rezeki bagi orang Mukmin, orang yang memberi buka puasa bagi orang yang berpuasa maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka dan baginya pahala seperti pahala orang yang  diberinya berbuka puasa tanpa dikurangi sedikitpun pahalanya"

Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah saw, tidaklah semua kami ini mampu memberikan makanan untuk berbuka puasa bagi orang lain? Maka Rasulullah saw bersabda: "Allah akan memberikan pahala tersebut bagi orang yang memberikan makanan bagi orang yang berpuasa sekalipun hanya dengan satu biji kurma atau seteguk munuman air putih atau sepotong susu kering. Dan adalah bulan Ramadan awalnya (10 hari pertama) rahmat, pertengahannya (10 hari kedua) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir) pembebasan dari neraka. Sesiapa meringankan hamba sahayanya pada bulan itu, Allah mengampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka. Maka perbanyakkanlah di bulan Ramadan 4 hal. Dua hal kamu mendapat redha Tuhanmu dan dua hal kamu tidak akan merasa puas dengannya. Adapun dua hal yang membuatkan kamu diredhai Allah adalah: Mengucapkan dan bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan kamu mohon keampunan kepadaNya. Adapun dua hal yang kamu tidak akan merasa puas dengannya adalah: Kamu minta syurga kepadaNya dan minta perlindungan diri dari api neraka, Dan sesiapa yang memberi minum orang yang berbuka puasa, maka Allah akan memberinya minum dari telagaku, sekali minum sahaja tidak akan haus selamanya sehingga masuk ke syurga." (HR Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, dan diriwayatkan dari jalan Al-Baihaqi, dan diriwayatkan Abu Asy Syaikh Ibnu Hibban dalam Tsawwab dengan ringkas (at Targhib wa at Tarhib II/94) dan Al Feqh Al Islamiy Wa Adillatuh (2/572))

FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADAN.

Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.

Walau bagaimanapun, faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya. Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah saw mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.

Pintu langit dibuka
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitah." -Riwayat Bukhari dan Muslim

Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Pada malam pertama bulan Ramadan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadan." -Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah ra
Amal ibadah bulan Ramadan
Dalam khutbah terakhir bulan Syaaban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang bulan Ramadan:
  1. Solat sunat tarawih.
  2. Solat-solat sunat yang lain.
  3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
  4. Mmeberikan hidangan berbuka puasa.
  5. Banyakkan membaca tahlil (syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt.
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
  8. Banyakkan bersabar, kerana pada bulan Ramadan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita. Ini termasuk jangan mengumpat, berkelahi, boros, fitnah-memfitnah, berbohong dan sebagainya.
Ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadan adalah berlipat-ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga 70 kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadan ini terbahagi kepada tiga bahagia:

  1. Untuk mendapat rahmat Allah swt mencurah-curah.
  2. Untuk mendapat keampunan Allah swt.
  3. Untuk mendapat pelepasan dari neraka.
Fadhilat yang lain-lain:
  • Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
  • Doa orang yang berpuasa dimakbulkan Allah swt.
  • Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaiyu semasa berbuka puasadan apabila bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak.
  • Orang yang berpuasa disertai menjauhi segala larangan semasa berpuasa dan mengerjakan ibadah sunat seperti bertahlil, bertasbih dan seumpamanya, akan dibinakan mahligai yang indah di syurga.
  • Setiap kali sujud orang yang berpuasa Ramadan dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.
Demikian sebahagian dari berbagai fadhilat dan kelebihan orang yang berpuasa Ramadan.

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN.

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti,  sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup." -HR Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah

KELEBIHAN BULAN RAMADAN.

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah swt dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan itu Allah swt. telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah swt yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasaitu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah.” –Surah Al-Baqarah: 185

Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadan itu satu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama, Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

BULAN RAMADAN YANG PENUH HIKMAH, SAATNYA KITA MELENGKAPI SALAH SATU DARI HUKUM ISLAM IAITU PUASA DI BULAN SUCI RAMADAN.

Puasa menurut bahasa adalah menahan. Menurut syariat Islam, puasa adalah suatu bentuk aktiviti ibadah kepada Allah swt dengan cara menahan diri dari makan, minum, hawa nafsu dan hal-hal lain yang dapat membatalkan puasa sejak terbit matahari/fajar/subuh hingga matahari terbenam/maghrib dengan berniat terlebih dahulu sebelumnya.

Puasa Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditegakkan oleh kaum Muslim yang telah baligh. Sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tiada ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi selain Allah dan Muhammad adalah rasulNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, shaum di bulan Ramadan dan pergi haji jika engkau mampu (melakukan perjalanan).” –HR Muslim: 8, Abu Dawud: 4695, Tirmizi: 2610, Ibnu Majah: 63, Nasa’i: 5005

Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebeum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari tertentu. Maka barang siapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan(permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hai yang lain.
Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaknya kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya uang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku (Allah) dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa, apabila ia memohon doa kepadaKu, makahendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” –QS. Al-Baqarah: 183-187
Dari firman Allah swt tersebut di atas dijelaskan tujuan utama berpuasa adalah agar kita menjadi orang yang bertakwa.

Keutamaan dan hikmah puasa di bulan suci Ramadan adalah: 
  •  Puasa adalah perisai (Pelindung). Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” –HR Ahmad 3/241, 3/296 dari Jabir, Ahmad 4/22 dan Utsman bin Abil ‘Ash. Ini adalah hadis yang sahih

  • Puasa boleh memasukkan hamba ke syurga. Dari Abu Umamah r.a katanya, “Aku berkata (kepada Rasulullah saw): “Wahai Rasulullah, runjukkan padaku suatu amalan yang boleh memasukkan ku ke syurga? Baginda menjawab: “Atasmu puasa, tidak ada (amalan) yang semisal dengan itu” –HR Nasa’I 4/165, Ibnu Hibban hal 232 Mawarid, Al-Hakim 1/421, sanadnya sahih

  •    Pahala orang puasa tidak terbatas.

PUASA DAN PERUBATAN : PESAKIT DAN KEBAIKAN

Terlalu ramai umat Islam yang keliru dengan perkara-perkara ibadah, lebih-lebih lagi bab ibadah puasa. Kan dah jelas melalui dari Al-Quran dan sunnah yang sahih, perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti penerangan di bawah ini.

Artikel diambil dari Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418h bersamaan 14-17 Jun 1997. (Substances and actions that nullify the fasting)(Bahan-bahan yang boleh membatalkan puasa)

Menurut Al-Quran dan hadis yang sahih dari Nabi Muhammad saw, tiga perlakuan yang boleh membatalakan puasa ialah makan, minum dan melakukan hubungan seks. Oleh yang demikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga sama ada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.

Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut dan telah sepakat setuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

  •         Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.
  •          Ubat tablet bawah lidah yang digunakan pleh pesakit Angina (jantung).
  •          Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
  •          Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.
  •          Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  •          Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah.
  •          Menderma atau menerima pemindahan darah.
  •          Oksigen dan gas bius.
  •          Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan seperti krim, jelly atau plaster berubat.
  •          Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
  •          Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
  •          Endoskopi untuk keperluan diagnostik atau intervention.

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:
  • ·         Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah swt.
  • ·         Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.
  • ·         Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah swt telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” –Surah Al-Maidah:42
  • ·         Memelihara seluruh tubuh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada memakan makanan syubhah sewaktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula dia memakan makanan yang haram.
  • ·         Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah swt daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

No comments:

Post a Comment