Saturday, 14 June 2014

SAHABAT RINDUAN SYURGA

"Orang yang berkasih-sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Allah , orang yang saling berbelanja membelanjakan kerana Allah, orang yang saling berhubungan kerana Allah, mereka semua berhak mendapat kasih sayang Allah" -HR Ahmad.

"Sahabat pada hari kiamat orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa" -Surah Al Zukhruf, 7.

"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah atau bersikap bijaksana dalam memilih sahabat" -HR Ahmad.

"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai langkahnya baiknya kalau aku tidak menjadikan dia sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan menlepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia" -Surah Al Furqan, 27-29.

Ingin saya kongsikan bersama para pembaca kisah 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Betapa hebatnya ukhwah mereka. Mereka bersahabat kerana Allah. Mereka ingat-mengingati satu sama lain kerana Allah. Sentiasa menolong sesama sendiri semuanya kerana Allah. Subahanallah, betapa hebatnya nilai kasih sayang para sahabat ini disebabkan itulah Rasulullah saw menjanjikan syurga buat mereka.

Saidina Abu Bakar As Siddiq

Abu Bakar bin Abi Quhafah adalah seorang yang berbangsa Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah saw, hanya berbeza keluarga sahaja. Isteri Rasulullah saw, Aisyah ra adalah anak perempuan Abu Bakar. Rasulullah saw berasal dari Bani Hashimi, manakala Abu Bakar dari keluarga Tamimi. Abu Bakar merupakan seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Beliau seorang yang kaya, pengaruhnya sangat besar dan memiliki akhlak mulia. Sebelum kedatangan Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah saw yang sangat mirip perlakuannya dengan Rasulullah saw. Tiada orang yang pernah nampak Abu Bakar minum arak walaupun arak itu belum haram lagi. Beliau adalah As Siddiq, yang tidak pernah berdusta. Disebabkan banyak persamaan sikapnya dengan Rasulullah saw, tidak hairanlah beliau menjadi khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah saw. Rasulullah saw selalu mengutamakan Abu Bakar dalam kalangan sahabat lain yang menjadikan Abu Bakar sedikit menonjol dalam kalangan parasahabat. Dalam masa yang singkat sebagai khalifah, Abu Bakar banyak membantu memperbaharui kehidupan umat Islam, memerangi nabi palsu dan kaum muslimin yang tidak mahu membayar zakat pada masa itu. Pada pemerintahannya, penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulakan.

Saidina Umar Al Khattab

Saidina Umar Al Khattab berasal daripada khabilah yang sama dengan Rasulullah saw. Saidina Umar masuk Islam selepas bertemu dengan adiknya Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid pada tahun keenam kenabian Rasulullah saw. Sebelum Saidina Umar memeluk Islam, sudah ada 39 lelaki dan 28 wanita yang terlebih awal memeluk Islam ketika itu. Selepas Saidina Umar memeluk Islam, dakwah mula dilakukan secara terang-terangan sampai ke saat Hijrah. Saidina Umar terkenal dengan kemahirannya yang hebat berdiskusi dan bedialog memecahkan permasalahan pada zaman itu. Saidina Umar juga merupakan salah seorang yang melakukan hijrah secara terang-terangan dengan berani. Sebagai khalifah yang kedua, Saidina Umar sangat mementingkan kesejahteraan umat Islam. Setiap malam Saidina Umar akan mengelilingi rumah rakyatnya kerana beliau risau ada antara yang masih belum dipenuhi. Pada zamannya juga, kegemilangan Islam tercapai.

Saidina Uthman bin Affan

Sahabat ketiga pula ialah Saidina Uthman bin Affan. Peribadi Uhtman pula digambarkan seorang yang sangat pemalu dan sopan-santun. Saidina Uthman terkenal sebagai orang yang sangat kaya dan sangat pemurah. Dalam sebuat persiapan pasukan perang, Saidina Uthman pernah membiayai perbelanjaan peperangan itu seorang diri sahaja. Setelah kaum muslimin berhijrah, Saidina Uthman yang membeli ladang dari seorang Yahudi untuk kegunaan umat Islam. Pada masa kepimpinannya, Saidina Uthman merintis usaha penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf dengan mengumpul lembaran-lembaran yang ditulis sejak zaman Saidina Abu Bakar.

Saidina Ali bin Abi Talib

Khalifah keempat selepas kewafatan Rasulullah saw. Beliau juga merupakan pemuda pertama yang memeluk Islam. Beliau juga menggantikan Rasulullah saw di tempat tidurnya pada malam Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. Pada ketika itu, Saidina Ali masih lagi kanak-kanak. Beliau merupakan menantu Rasulullah saw, suami kepada anak perempuan kesayangan Rasulullah saw iaitu Fatimah. Saidina Ali adalah seorang sahabat, walaupun berstatus menantu malah sepupu Rasulullah saw sendiri, kehidupannya sangat sederhana, bahkan tiada pembantu yang dapat disediakan buat isterinya di rumah.

Thalhah bin Ubaidillah

Beliau pernah menerima lebih dari 70 tikaman atau panahan anak panah ketika berperang dan jari tangannya putus ketika berperang semasa perang Uhud. Beliau merupakan insan yang tabah dan kuat, sehinga beliaulah yang melindungi Rasulullah saw dikebanyakkan saat-saat penting cubaan membunuh Rasulullah saw. Beliau pernah memapah Rasulullah saw yang tubuhnya tercedera menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan peperangan sehingga kaum musyrikin beredar meninggalkan medan perang kerana menyangka Rasulullah saw telah wafat

Azzubair bin Awwam

Azzubair bin Awwam adalah sahabat baik kepada Thalhah bin Ubaidillah. Beliau memeluk Islam ketika umurnya 15 tahun dan berhadapan dengan siksaan daripada ahli keluarganya sendiri. Kepahlawanan beliau terlihat dalam perang badar, saat beliau berhadapan dengan Ubaidah bin Saad Ibnul Ash, Azzubair berhasil menikam tomabk pada kedua mata musuhnya itu sehingga akhirnya tersungkur tidak bergerak lagi. Dan hal ini menyebabkan pasukan Quraisy takut dengan pasukan Islam. Beliau adalah suami kepada anak Saidina Abu Bakar iaitu Asma yang menghantarkan makanan kepada Rasulullah saw dan Saidina Abu Bakar ketika peristiwa hijrah. Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar, saat panglima perang Islam menghadapai tentera Romawi di Mesir, Amr bin Ash meminta bantuan tentera daripada Saidina Umar, lalu Saidina Umar mengirimkan 4000 tentera Islam yang dipimpin oleh 4 komander dan Saidina Umar menyertakan sepucuk surat yang mengatakan bahawa salah seorang komander tentera itu adalah Azzubair bin Awwam.

Abdurrrahman bin Auf

Abdurrahman bin Auf merupakan seorang pedagang yang berjaya. Namun semasa peristiwa hijrah, beliau meninggalkan seluruh harta yang telah diusahakan semenjak sekian lama. Setelah tiba di Madinah, beliau kembali menjadi seorang yang kaya. Ketika beliau meninggal dunia, wasiat beliau adalah agar setiap yang menyertai perang Badar yang masih hidup akan mendapat 400 dinar (ketika itu seramai 100 orang yang masih hidup) termasuklah Saidina Ali dan Saidina Uthman. Beliau juga berwasiat agar sebahagian hartanya diberikan kepada Ummahatul Mukminin.

Saad bin Abi Waqqas

Beliau merupakan orang yang pertama yang terkena panah di jalan Allah. KeIslaman beliau sangat kuat dan utuh meskipun beliau dikecam ibunya sendiri. Cabaran ini yang paling hebat ditempuhi olehnya iaitu memilih anatar ibu dan Allah. Saad memilih mengutamakan Allah.

Said bin Zaid

Said bin Zaid adalah adik ipar kepada Saidina umar dan suami kepada Fatimah. Beliau merupakan seorang anak yang dididik oleh seorang ayah yang mendapat hidayah Allah tanpa melalui kitab atau nabi. Kisahnya sama seperti Salman Al Farisi dan Abu Dzar Al Ghifari, Ramai para sahabat yang sering berkunjung dan berkumpul di rumahnya untuk mendapatkan keimanan dan ketenteraman semetara. Beliau adalah sahabat yang dermawan dan suka membantu meskipun hidupnya sederhana.

Abu Ubaidah Ibnul Jarrah

Beliau diduga dengan terpaksa membunuh ayahnya sendiri di saat perang Badar, sehingga Allah menurunkan kisahnya dalam Surah Al Mujadalah. Abu Ubaidah mendapat gelaran indah Rasulullah saw sebagai pemegang amanat umat.

Begitulah kisah 10 sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah saw. Betapa hebatnya peribadi mereka sehingga Allah menyediakan syurga untuk mereka. Setiap apa yang mereka lakukan semuanya adalah kerana Allah. Sentiasa memuliakan Rasulullah saw. Begitu hebat cabaran dan dugaan yang diberikan kepada mereka tetapi sedikit pon tidak memutuskan keimanan mereka kepada Allah. Kita hendaklah mencontohi keperibadian mereka agar kita juga boleh bersama sama mereka untuk menempa taman-taman dalam syurga Allah. In Shaa Allah :)

No comments:

Post a Comment