Saturday, 14 June 2014

HIJRAH: AKU PILIH JALAN ALLAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

HIJRAH

Pelbagai erti hijrah tiu ditafsirkan. Ada yang mentafsirkan sebagai perpindahan tempat tinggal. Ada yang mentafsirkan sebagai penghijrahan dari sesuatu keburukan kepada sesuatu kebaikan. Apapun, semuanya membawa erti yang sama. Dalam konteks kerohanian, hijrah menjurus kepada perubahan diri. Cuba kita fikir kembali. Betapa Allah itu hebat. Kita meminta, Dia memberi. Kita tak minta apapun Dia tetap memberi.

Allahuakbar. Kalau kita memperolehi apa yang kita minta kepadaNya, bersyukurlah. Kalau kita tidak dapat apa yang kita minta maka bersabarlah. Redha dengan ketentuan Allah. Ketahuilah bahawa apa yang disimpan Allah daripada kita itu adalah jauh lebih baik jika kita diberi. Ingat bahawa Allah memberi supaya kita memberi. Allah tetap memberi walaupun kita tak memberi.

Alhamdulillah. Kita sepatutnya kagum dengan kurniaan Allah buat kita. Hidayah yang telah diberikan untuk kita berhijrah kejalanNya. Ingatlah, itu tandanya Allah masih sayang kepada kita semua. Dia mahu kita kembali kepadaNya. Bersyukurlah dengan penghijrahan ini. Walaupun ada peritnya tetapi kita harus kuat!

"Dan sungguh Kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" -Surah Al Baqarah, 155.

Berasa kagumlah dengan nikmat kurniaanNya. Betapa hebat aturanNya. Mungkin kita tidak sedar yang segala kita perolehi hari ini adalah pemberianNya yang pernah kita minta suatu ketika dahulu. Terdetik hati ini untuk berubah berhijrah semuanya kerana Dia. Ya, kita minta diberi kekuatan saat kita jatuh. Kita minta kebahagiaan disaat kita tenggelam dalam kesedihan. Kita minta kebahagiaan disaat kita kesedihan. Kita minta ketabahan disaat datangnya ujian bertalu-talu.

Kadang-kadang mesti kita tertanya-tanya, kata hairan mengapa apa yang kita pinta masih belum ditunaikan Allah? Kini setelah penghijrahan ini akhirnya kita sedar dan mendapat jawapannya. Allah itu ternyata hebat! Allah tidak memberi apa yang kita mahukan tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan. Adakalnya Dia ganti lebih hebat daripada apa yang kita pinta. Pelbagai lagi nikmat yang Allah beri tanpa kita sedari.

Aku Perlu Berhijrah

Ikhlaskanlah hati. Kuatkanlah hati. Hati ini milik Allah. Jagakan ia sebaiknya. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penjaga. Hati mahu terus kuat berazam untuk berubah. Apabila ingin berubah hati terus mahu semangat. Niatkanlah kerana Allah. Apabila kita meletakkan Allah sebagai nombor satu dalam apa jua amalan, In Shaa Allah semuanya akan dilimpahi dengan keberkatan. Serahkan hati sepenuhnya agar ia menjadi milik Allah. Hati ini apabila dijaga Allah, takkan ada satu kesedihan pun yang mampu untuk mematahkan semangat juang untuk menanggung segala ujian yang diberikan. Ingat, bahawa hijrah itu memerlukan pengorbanan yang besar. Jadi mungkin saja hati dan diri boleh tergelincir daripada landasan. Jadi biar Allah pegang hati supaya iman dan taqwa terus bertambah dan kuat.

Doa Senjata Orang Mukmin

Doa itu tanda kita merayu memohon pertolongan daripada Allah. Mintalah kepada Allah agar hati terus kuat dan tabah dalam melangkah ke jalan Allah. Perjalanan hijrah bukannya mudah. Banyak halangan yang perlu kita tempuhi untuk mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah. Jalan hijrah bukanlah jalan untuk orang orang yang banyak alasan. Jalan hijrah bukan untuk orang yang lemah. Jalan hijrah bukan untuk orang yang malas. Tetapi jalan hijrah itu untuk orang yang kuat, sabar, redha dan ingin kembali pada Allah.

"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke neraka Jahannam dalam keadaan yang hina" -Surah Al Mukminun, 60.

Sahabat Yang Soleh

Persekitaran juga mempengaruhi kita. Jadi carilah sahabat yang betul-betul boleh memberi galakkan dan semangat kepada kita untuk terus kuat berada di jalan Allah. Jauhilah rakan-rakan yang suka mempermainkan agama dan hukum-hukum Allah. Orang-orang yang sebegini selalunya akan memberi pengaruh yang besar kepada kita untuk kembali berpaling daripada jalan Allah. Bersahabatlah dengan orang-orang yang sentiasa menjadikan agama itu kecintaan mereka agar kita juga dapat semangat utuk mencontohi mereka meletakkan Allah nombor satu dalam setiap  aspek kehidupan.

Mencintai Majlis Ilmu

Penghijrahan memerlukan ilmu untuk terus menjadi panduan bagi memudahkan kita sentiasa memperbaiki diri. Dengan menghadiri majlis-majlis ilmu kita akan sentiasa dapat menambahkan ilmu. Ilmu-ilmu yang bermanfaat akan menjadikan akal kita lebih berhikmah dalam mengambil setiap keputusan dalam kehidupan. Akal yang penuh dengan ilmu juga akan memberi keterangan pada minda atas baik dan buruknya sesuatu perkara. Didik diri agar mencintai majlis-majlis ilmu supaya ilmu-ilmu yang kita timba itu boleh menjadi panduan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.

Cari Suasana Tarbiyah

Banyakkan bermuhasabah diri. Kadangkala kita tercari-cari kepada siapakah ingin kita meluahkan rasa hati. Nak meluahkan pada manusia bimbang lidah tidak bertulang. Allah biarkan kita tercari-cari supaya dipengakhirannya kita jumpa jalanNya untuk kita bermunajat dan muhasabah diri. Mengadulah kepada Allah. Banyakkan mengingati diri kepada Allah. Cari masa untuk kita selalu ingat kepadaNya. Hati-hati yang selalu ingat kepada Allah akan menjadikan seluruh anggota tubuhnya turut takut kepada azab Allah yang amat pedih.

Jangan Bertangguh

Ramai orang terlepas pandang aspek ini. Mereka suka menangguhkan hijrah. Kenapa perlu bertangguh untuk berpijak di jalan Allah? Kenapa perlu bertangguh untuk berlari menuju Allah? Mati itu pasti. Tidak ada satu pun yang dapat menahan saat kematian. Adakah kita ingin pulang menghadapNya dalam keadaan kita yang masih menyimpang jauh dijalanNya? Tak perlu untuk berkata esok untuk berdiri di jalan Allah. Mulakan sekarang. Kerana hari pembalasan juga kita pernah tertangguh.

Belajar Dan Mengajar

Apabila hati sudah tekad untuk memilih jalan Allah, maka mulakan suatu pembaharuan dalam hidup. Belajarlah bagaimana untuk menjadi hamba kesayanganNya. Belajar bagaimana untuk membina hidup atas nama Islam yang sebenar. Ada ilmu lalu berkongsilah dengan orang lain. Adakalanya kita perlu mengajar orang lain apakah itu erti kehidupan Islam yang sebenar. Jangan pernah menganggap bahawa kita belajar sekadar untuk memenuhi tuntutan agama tetapi Islam juga mengajar kita untuk berkongsi ilmu Allah itu bersama-sama dengan orang lain.

Buang Perasaan Riak Dan Sombong

Jangan pernah sesekali kita memandang hina pada orang yang masih lagi leka dengan dunia. Hidayah itu milik Allah. Sekiranya mereka mencari hidayah itu pasti Allah akan memberikannya tetapi hidayah yang Dia berikan kepada kita jika tidak dijaga maka dalam sekelip mata ia boleh ditarik balik. Sebab itulah Islam mengajar kita supaya selalu merasa rendah diri kepada sesiapa pun. Tanam sifat syukur dalam diri. Walaupun kita rasa kita sudah memenuhi segala tuntutan agama tetapi tanda amalan kita diterima atau tidak itu tiada tanda. Sedikit sahaja rasa riak dan takbur ada di dalam hati maka semua amalan itu adalah sia-sia.

Istiqamah

Istiqamah ini adalah sangat penting. Ramai orang yang sudah diberikan hidayah Allah tetapi mereka tidak menjaga hidayah itu lalu mereka tersungkur daripada jalan Allah. Jagalah hidayah dengan terus berdoa pada Allah dan istiqamah dalam menjaga kesucian Islam dalam kehidupan seharian. Jangan sia-siakan apa yang Allah berikan pada kita pada hari ini. Istiqamah dalam mencari keredhaan Allah kerana orang yang berada dalam redha Allah dia lah orang yang paling beruntung.

Hidup kita di dunia ini adalah sebagai jambatan akhirat. Baik jambatan yang kita bina maka mudahlah kita untuk sampai ke destinasi. Apakah bahan yang terbaik untuk membina jambatna ini? Adakah ia kukuh? Adakah ia menepati ciri-ciri? Sama-sama kita renungkannya.

Mudah bercakap, mudah berhujah tapi perlaksanaannya tidak semudah itu. Menuntut mujahadah dan kekuatan. Mohon agar Allah pelihara setiap butir kata, langkah yang kita ambil dalam melakukan sesuatu dan pelihara lintasan hati kita supaya kita tidak terus-terusan tertipu dengan bayangan indah ciptaan syaitan laknatullah. Memohon kekuatan agar berbakti berdiri sehebat serikandi agung.

Moga dengan peningkatan usia diri bertambah matang dan kuat untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Yakinlah pada Allah. Allah tidak akan mensia-siakan hamba-hambaNya yang berhati baik. Pasti akan ada kemudahan yang disediakan untuk yang ikhlas mencari.  Bagi mereka yang masih mencari, sama-sama kita berdoa agar Allah memberikan hidayah agung yang terbaik buat mereka. Bagi yang sudah menggenggamnya jagalah ia sebaik mungkin agar Allah yerus menjadikan ia milik kita. In Shaa Allah :)

No comments:

Post a Comment